Amanat Nabi Muhammad S.A.W Dalam Perniagaan  

Posted by Mohd Elyas Mohd Bakri

1. Rasulullah merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur
katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Oleh itu,
tidak hairanlah apabila baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah, baginda
memperoleh keuntungan yang banyak. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan
kefasihan baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah:
Bermaksud: "Adalah Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas
lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama
baginda).
 
2. Baginda mengutamakan keredhaan Allah dan keberkatan mencari rezeki yang halal
supaya perniagaan sentiasa berada dalam garisan syariat dan terhindar daripada corak
perniagaan orang-orang kafir yang terdapat unsur penipuan, riba’, pengurangan dalam
timbangan dan lain-lain. Oleh itu, kejujuran, amanah, menjaga segala gerak geri dan tutur
kata amat penting bagi seorang ahli perniagaan kerana sifat-sifat mulia itu akan
menjadikan seseorang peniaga itu dipercayai. Rasulullah melarang jual beli barang yang
mengandungi unsur tipu daya.
 
3. Rasulullah bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan
perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan baginda tetapi juga untuk
mengukuhkan potensi baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur
modal mereka untuk digunakan oleh baginda bagi tujuan perniagaan. Muamaalah seperti
ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu di kalangan
mereka yang berada dan tidak berada. Firman Allah SWT dalam surah Al Ma’idah ayat 2:
Bermaksud: "Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan
taqwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan
dan permusuhan."
 
4. Semenjak usia baginda masih kecil lagi, baginda telah berusaha untuk menyara
kehidupan dan tidak bergantung kepada bapa saudaranya. Baginda sentiasa berusaha
mencari rezeki yang halal seperti menjalankan perniagaan. Perkara ini perlu dijadikan
pengajaran dan iktibar bagi anak-anak muda pada masa kini.
 
5. Walaupun Rasulullah tidak mempunyai modal sendiri untuk berniaga, baginda sentiasa
berusaha untuk menceburkan diri di dalam bidang ini dengan mengambil upah daripada
orang-orang yang mempunyai modal tetapi tidak dapat melaburkan modalnya sendiri,
mereka memerlukan orang lain untuk menjalankan perniagaanya.
 
6. Oleh kerana baginda Rasulullah telah bekerja sejak daripada muda lagi, baginda telah
dikenali ramai dengan sifat kejujurannya dan ketekunannya dalam bekerja. Keadaan ini
menyebabkan peluang baginda untuk menjalankan perniagaan orang-orang yang
memerlukan bantuan adalah cerah.
 
7. Perniagaan baginda Rasulullah ke atas harta Khadijah memperlihatkan kepada kita
tentang ebaik-baik harta adalah dari hasil sendiri yang dapat dimanfaatkan untuk
kebaikan diri sendiri dan masyarakat seluruhnya. Manakala seburuk-buruk kemewahan
ialah kemewahan yang diperolehi tanpa kesusahan dan tidak memberi sebarang manfaat
kepada masyarakat.
 
8. Selepas baginda Rasulullah berkahwin dengan Sayidatina Khadijah, baginda masih
tetap menjalankan perniagaan seperti biasa dan menjadi pengurus dan rakan perniagaan
isteri baginda sehinggalah baginda diangkat menjadi rasul.
 
9. Baginda Rasulullah bekerja sebagai saudagar hanya untuk memenuhi keperluan hidup
baginda dan bukan untuk menjadi jutawan kerana baginda tidak pernah menunjukkan
kecintaan terhadap kekayaan. Oleh itu baginda menceburkan diri dalam perniagaan
semata-mata untuk mencari rezeki yang halal dan memenuhi keperluan hidup seharian.
Melalui penglibatannya dalam perniagaan, kita dapati bahawa baginda Rasulullah
menjalankan perniagaan dengan penuh kejujuran dan keadilan. Sikap ini membuatkan
pelanggan-pelanggan tidak pernah bersungut dan merasa berpuas hati dengan baginda.
Tidak pernah terjadi pergaduhan di antara baginda dengan pelanggan. Segala masalah
akan diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Sikap jujur, adil, amanah dan
bertanggungjawab adalah merupakan prinsip asas dalam perniagaan. Prinsip ini
sepatutnya menjadi contoh teladan kepada para peniaga dalam menjalankan urusniaga
perniagaan.
 
10. Baginda Rasulullah sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika
menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda
yang bermaksud: "Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika
ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan."
 
11. Pertukaran barangan yang diadakan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak dalam
urusniaga perdagangan merupakan pertukaran yang sah dan halal. Allah melarang
manusia daripada mengambil barang orang lain tanpa mendapat persetujuan dan keizinan
daripada mereka. Perkara ini penting untuk mengekalkan ketenteraman dan kesejahteraan
di dalam masyarakat serta untuk menjaga hubungan baik dan mesra di antara ahli
sesebuah masyarakat. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Nisa’ ayat 29: Bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta yang ada di antara kamu
dengan jalan batil melainkan dengan cara jual beli suka sama suka (redha meredhai) di
antara kamu." ‘Jalan yang batil’ termasuklah semua jual beli yang mengikut jalan yang
salah yang bertentangan dengan hukum-hukum prinsip Islam dan yang sesat serta tidak
bermoral dan beretika. Semua perniagaan hendaklah dijalankan dengan persetujuan
bersama bukan dengan jalan paksaan dan penipuan. Sabda Rasulullah s. a. w. Bermaksud:
"Sesungguhnya jual beli itu hanya sah dengan cara redha meredhai (suka sama suka).
 
12. Riba’ dalam apa jua bentuk sekali pun adalah dilarang Allah, manakala semua jenis
jual beli yang tidak terkeluar daripada syariat Islam adalah halal. Firman Allah SWT.


Wallahu'alam..

This entry was posted on Saturday, October 3, 2009 at 5:08 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment